Perancangan mencerminkan usaha yang melibatkan disiplin-disiplin tertentu, untuk mengurus dengan baik, sumber-sumber pendapatan, serta aset, seseorang itu, supaya setiap perbelanjaan yang dibuat mendatangkan faedah / manfaat yang optima, dan dapat memungkinkan tabungan dan pelaburan yang boleh pula menjamin pendapatan di masa hadapan. Dengan terurusnya kewangan seseorang itu, maka akan dapat dipastikan bahawa ianya bebelanja hanya mengikut kemampuan, dan hanya akan membuat komitmen-komitmen kewangan yang mampu diselesaikan.Dengan itu juga, beban dan komitmen kewangan, sepeti hutang, akan selaras dengan keupayaan membayar balik, dan tidak merupakan satu masalah yang menjadi punca segala-segala masalah lain.Pendek kata, kewangan yang terurus dapat memberikan ketenangan dan keselesaan, dan, dengan itu, mendorongkan seseorang itu menumpukan fikiran dan tenaga, kepada urusan kerjaya, dan apa jua aktiviti yang dijalankannya.Bahkan disiplin mengurus kewangan bukan sahaja penting untuk individu, tetapi sama pentingnya bagi semua pihak dan entiti yang mempunyai aset dan kewangan untuk dibelanja. Ini termasuk syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan pertubuhan-pertubuhan, badan-badan berkanun, dan jabatan-jabatan kerajaan. Disiplin pengurusan kewangan bukan sahaja penting bagi mereka yang menguruskan kewangan dan aset sendiri, tetapi sama pentingnya, jika tidak lebih penting, bagi mereka yang diamanahkan untuk menguruskan kewangan dan aset bagi pihak orang lain.Sebenarnya disiplin mengurus kewangan secara dirancang, akan lebih mudah diamalkan jika sudah terdapat, secara meluas, satu budaya masyarakat yang memberi keutamaan dan penekanan kepada mendapatkan nilai daripada wang atau getting value for money. Dengan adanya asas-asas budaya tersebut, maka ahli-ahli masyarakat akan sentiasa menimbangkan, dengan teliti, kegunaan wang mereka, supaya setiap kali perbelanjaan dibuat, maka dapat dinilai faedah yang diterima, supaya setimpal dan sepadan dengan wang yang dibelanjakan. Jika perbelanjaan dibuat tanpa perancangan, ada kemungkinan seseorang itu mendapati bahawa, apa yang diperolehinya; "tidak berbaloi", iaitu tidak sepadan dengan apa yang telah dibelanjakan.Disiplin pengurusan kewangan wajar dipupuk seawal mungkin dalam masyarakat, sama ada dalam keluarga, ataupun di sekolah-sekolah, supaya ianya menjadi teras kepada disiplin pengurusan kewangan dalam semua aspek aktiviti ekonomi di negara.Pengawal kewangan sesebuah syarikat atau jabatan kerajaan, akan sentiasa beramanah, dan terdorong untuk mengurus kewangan organisasi dengan baik, oleh kerana telah diterap dengan disiplin dan budaya pengurusan kewangan yang baik.Apa yang selalu dilaungkan sebagai "good corporate governance" atau tadbiran korporat yang baik, adalah berpunca daripada budaya dan disiplin untuk mengurus kewangan dan aset dengan amanah, teratur dan mementingkan nilai. Segala perancangan korporat akan sentiasa dibuat dengan teliti, berasaskan kemampuan kewangan dan sumber-sumber, dengan pertimbangan cermat antara aset dan tanggungan.Pengurusan kewangan yang baik dalam syarikat akan membolehkan perancangan lebih sempurna untuk pembesaran dan pelbagaian operasi, dan untuk apa jua aktiviti di masa hadapan, bagi memanfaatkan kemajuan-kemajuan dalam teknologi dan pasaran.Begitu juga, perancangan kewangan yang berdisiplin, dan pengurusan kewangan secara beramanah, akan membolehkan entiti-entiti sektor awam, sama ada di peringkat pusat, negeri atau tempatan, memberi perkhidmatan sebaik mungkin, serta mencapai objektif-objektif piagam pelanggan mereka. Dan tidak mungkin berlaku kejadian-kejadian seperti pecah amanah, lebih belanja, dan pembaziran.Dalam pengurusan kewangan, akan dapat dirancang supaya, bukan sahaja perbelanjaan wajib dapat dibuat, tetapi akan ada pula lebihan-lebihan daripada pendapatan yang boleh ditabung dan dijadikan pelaburan. Ini benar bukan sahaja untuk individu, tetapi untuk mana-mana organisasi yang menerima sumber pendapatan.
No comments:
Post a Comment