Blog ini menjadi medium untuk mempromosi produk,mendapatkan maklumat berkaitan usahawan dan keusahawan dan menjadi medan perkongsian maklumat dan ilmu.
Monday, June 2, 2008
Jati Diri Seorang Usahawan Muslim
Para pengunjung laman web usahawan Muslim yang dirahmati Allah, Mungkin ramai yang tertanya-tanya entah apa gerangan tiba-tiba yang beku menjadi cair, yang keras beransur lunak, yang bersimpang siur seolah-olah berangsur bergerak perlahan-lahan mencari satu arah, seperti ada daya magnet luar biasa yang menarik ke satu paksi yang mampu memberi jaminan keselamatan, ketenangan dan kesejahteraan. Inilah fithrah insaniah, manusia yang diciptakan oleh Allah Yang Maha Agung. Setelah dihempas badai menghanyutkan segalanya seperti di zaman nabi Nuh, setelah diterbalikkan bumi seperti di zaman Nabi Luth dan banyak lagi peristiwa yang dicontohkan kepada kita maka manusia yang beriman akan segera sedar dan terus kembali memohon ampun kepada Allah. Namun yang derhaka, tanda kebesaran Allah tidak sedikit pun menggugah hati dan perasaan mereka. Seperti yang disebutkan dalam alquran golongan yang ingat, yang berfikir dan bersyukur ini terlalu sedikit. Ya Allah masukkanlah kami dalam golongan yang sedikit ini. Amin. Dari sinilah kami terbangun kembali dari lamunan dan mimpi yang selama ini kami lali sehingga bulletin laman web ini turut beku buat beberapa ketika. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami sekali lagi untuk terus mencuba, terus menghidupkan laman ini dan berkongsi bersama dengan saudara-saudari para pengusaha di seluruh Nusantara untuk beramal. Semoga cetusan kesedaran baru dan niat ikhlas suci murni yang terpancar dari hati kita semua, laman ini akan menjadi medan amal untuk kita kutip di akhirat nanti.Amin. Kepada saudara saudari yang menerima ujian langsung dari Allah pada 26 hb Disember 2004 yang lalu, yang masih bersedih, bingung, terkejut, takut dan seribu macam perasaan bermunculan , diharapkan akan bertukar kepada amal soleh yang konsisten sehingga Allah memanggil kita kembali kepadaNya. Marilah kita hisab diri kita akan segala dosa, kelalaian dan kealpaan kita kepada Allah selama ini.Apakah kita akan terus memberi seribu alasan dan sebagainya hingga kita meninggalkan segala suruhan Allah dan melakukan perkara yang ditegah oleh Allah? Apakah cukup ilmu Islam bersijil berjela-jela yang boleh menyelamatkan diri kita dari azab Allah ? Apakah cukup persediaan kita sebagai seorang usahawan Muslim untuk berdepan dengan segala soalan di kubur dan alam baqa’ nanti ? Inilah ujian maha dahsyat yang dapat menentukan nasib kita di akhirat nanti.Jika ujian dari Tsunami, jutaan bantuan datang kepada kita dari seluruh penjuru dunia tapi ujian yang haqiqi nanti akan memastikan samada kita gagal bermakna neraka dan jika kita sukses bermakna kita akan di tempatkan di syurga selama-lamanya. Hasil yang infiniti inilah yang sebenarnya hadiah dan anugerah buat kita sebagai hamba Allah di sana nanti. Saudara para pengusaha yang budiman, Dunia perniagaan dalam apa bidang sekalipun akan menghidangkan kepada kita seribu macam ujian? Ada kalanya ujian itu datang boleh dielak tapi adakalanya tidak boleh dielakkan lagi, namun ada juga yang sengaja mahu mencuba-cuba dan akhirnya tidak mampu dan kalah. Maka di sinilah pentingnya peringatan dari saudara kita yang lain dan kami sangat mengharapkan agar laman usahawan ini juga dapat memainkan peranan yang sangat mulia ini. Kali ini saya cuba mengutip beberapa kalimat yang disusun oleh Dr. Yusuf Qardhawi dalam bukunya Daurul Qiyam wal Akhlaq fil Iqtisyodil Islami (Peranan Nilai dan Moral dalam Perekonomian Islam - terbitan Robbani Press, Jakarta). “Kelemahan paling dasar yang dilakukan oleh para pengusaha ialah melupakan diri dengan kebiasaan hidup seharian dengan kebendaan, angka-angka dan pendapatan. Akibatnya para pengusaha semakin jauh dari mengingati keagungan dan kebesaran Allah bahkan ada yang sudah begitu jauh hingga dalam hatinya tidak ada lagi kehidupan akhirat, halal haram, pahala dan syurga, seksa dan neraka.” Para pengusaha sekalian, Apakah persediaan kita untuk ke akhirat? Imam Al Ghazali ada menulis dalam Ihya’ di bab yang kelima, apa katanya; “Tidak sepatutnya bagi seorang pengusaha disibukkan oleh mata pencariannya dari akhiratnya, sehingga umurnya akan sia-sia dan perniagaannya akan rugi. Bahkan akan hilang keuntungan akhiratnya dan tidak dapat ditebus dengan apa yang ia peroleh di dunia kerana dia telah menjual kehidupan akhirat dengan kehidupan dunia. Tetapi orang yang waras akan menyayangi dirinya, iaitu yang memelihara modalnya. Modalnya adalah agamanya dan keselamatannya dalam agama. Sebahagian ulama salaf berkata, “ Sesuatu yang paling utama bagi seseorang yang berakal adalah apa-apa yang yang paling diperlukannya dalam kehidupan ini. Sedangkan sesuatu yang paling diperlukannya dalam kehidupan dunia adalah sesuatu yang paling terpuji akibatnya dalam kehidupan akhirat.` Inilah gambaran hidup seorang pengusaha biasa bagi seorang ulama’ mu’tabar. Pengusaha yang berjaya pada pandangan kita biasanya diukur dari nilai benda yang terlihat dengan mata tapi berbeza dengan Imam alGhazali dan orang mukmin yang lain. Dari sinilah timbulnya percaya diri,ikhlas,taat,komitmen,jihad,pengorbanan dan lain-lain yang diasaskan dari penilaian tadi. Abu Bakar, Usman, Abd Rahman bin Auf dan sahabat lain sukses kerana yakin dengan janji Allah di akhirat nanti sehingga apa saja yang diminta oleh Allah dan Rasul, tidak pernah mereka katakan “NO” tapi terus dengan “YES” dan mengalirlah harta benda mereka demi Allah dan Rasul. Inilah kehidupan contoh selamanya buat kita para pengusaha Muslim yang tidak akan terpisah walau sesaat dari aturan Islam yang syumul dan iman haqiqi yang mendominasi kehidupan kita. Para pengusaha yang dihormati sekalian, Pada kesempatan ini, saya sangat berharap agar kita semua dapat terus merenung, berfikir dan bergerak ke arah yang dapat menyelamatkan kita dari azab Allah. Tsunami, gempa dan bermacam bencana hanya peringatan-peringatan kecil yang Allah bentangkan kepada kita supaya kita akur. Bencana dan azab maha dahsyat sedang menunggu kita di akhirat jika sekiranya kita gagal untuk berfikir, bertaubat dan berubah sekarang. Semoga Allah memberi kita keampunan dan kesempatan hingga kita mampu membuktikan bahawa kita benar-benar insaf untuk memikul amanah sabagai khalifah di muka bumi ini. Amin. Mustapa Mansor Direktor Kump Usahawan Muslim Sdn Bhd.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment